NILAI SOSIAL DAN ETIKA DALAM PEMBANGUNAN
NILAI SOSIAL DAN ETIKA DALAM PEMBANGUN
(Social Values and Ethics in Development)
1.0 Pendahuluan
Banjir yang berlaku dengan serius pada tahun 2006 dan 2007 di Semenanjung Malaysia ialah di negeri Johor. Banjir merupakan luahan yang melebihi keupayaan alur sungai dan melimpahi tebingnya ke kawasan dataran banjir dalam satu tempoh tertentu. Dalam isu banjir ini projek pembangunan yang dipilih ialah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Johor Barat (PPPB). Projek yang dilakukan seperti sistem perparitan atau empangan, sistem saliran sungai dan lain-lain. PPPB bertanggungjawab dan berazam meningkatkan mutu perkhidmatan dalam setiap projek. PPPB dipilih kerana dalam projek ini mereka bekerja ke arah memajukan pembangunan negara. Selain itu, mereka mengamalkan sikap positif, reponsif, berdaya cipta dan berusaha dalam setiap projek pembangunan mereka. Tetapi, terdapat sebilangan pekerja yang tidak bertanggungjawab atas pekerjaan mereka kerana mereka membuat kerja dengan sambil lewa. Terdapat sebilangan masyarakat menuduh bahawa sistem perparitan yang dibina kurang sempurna kerana tidak dapat menampung air hujan yang berlebihan. Dalam hal ini, nilai dan etika bagi mereka adalah tidak mengamalkan sikap bertanggungjawab, sikap sambil lewa serta tiada produktiviti. Peristiwa ini telah membawa pengajaran kepada mereka yang tidak bertanggungjawab kerana kesan buruk berlaku di kalangan penduduk. Terutamanya pada musim hujan kerana banjir kilat berlaku telah membawa kerugian yang besar dan menjejaskan kehidupan harian penduduk.
2.0 Projek pembangunan
PROJEK PEMBANGUNAN PERTANIAN BERSEPADU JOHOR BARAT (PPPB)
Projek ini meliputi kawasan seluas 358,000 hektar dan dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa pertama merangkumi kawasan seluas 148,000 hektar dan kerja-kerja telah disiapkan pada tahun 1988 dengan membelanjakan kos sebanyak RM 368 juta. Kerja-kerja untuk fasa kedua pula meliputi kawasan seluas 210,000 hektar yang telah dimulakan pada tahun 1986 dan disiapkan pada tahun 2000. Kerja-kerja yang dirangkumi dalam projek ini termasuk pengorekan dan pengaluran Sungai Simpang Kiri sepanjang 35km, Sungai Simpang Kanan sepanjang 18km serta lain-lain infrastruktur seperti jalan ladang dan sebagainya. Dengan pembinaan Empangan Sembrong dan Empangan Bekok serta kemudahan-kemudahan saliran, masalah banjir dijangka dapat dikurangkan. Projek ini telah mendapat pembiayaan oleh Bank Dunia. Pinjaman ini ditamatkan pada 30 Jun 1996 dan kos selanjutnya telah ditanggungkan oleh kerajaan persekutuan. Pada 31 Disember 1999, pejabat projek ini telah dibubarkan dan pengurusan projek diambil alih oleh Jabatan Pengairan dan Saliran ( JPS ) negeri Johor.
JPS merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1913 iaitu pada permulaan diletakkan di bawah Jabatan Kerja Raya dinamakan Cawangan Tali Air dan sejak itulah ia telah memainkan peranan besar kepada negara. Selepas pengambilan pengurusan projek ini, JPS telah berusaha untuk menangani dan mengatasi masalah banjir dengan melaksanakan pelbagai program tebatan banjir dan kajian untuk memperbaiki saliran bandar sedia ada. Kerja-kerja tebatan banjir yang dilakukan termasuklah peningkatan kapasiti sungai, pembinaan parit utama dan stesen pam.
Di negeri Johor, dua projek tebatan banjir telah dibina iaitu Rancangan Tebatan Banjir ( RTB ) Muar dan Batu Pahat. Bagi projek saliran bandar Maharani Muar, ia meliputi kawasan Bandar Maharani seluas 4,700 hektar dengan penduduk seramai 200,300 orang. Projek ini dimulakan sejak 1996 dengan melibatkan pembinaan parit konkrit, parit tanah, pembentungan dan lintasan konkrit serta pembinaan pintu air dan ban sungai. Kos projek ini telah menelan belanja sebanyak RM 18.3 juta.
Di Batu Pahat pula, banjir akan berlaku setiap kali hujan lebat dengan air pasang di Sungai Batu Pahat disebabkan oleh kesan-kesan daripada pembangunan perbandaran seperti halangan-halangan sampah sarap dalam sungai dan laluan-laluan utiliti, pembinaan perumahan, bangunan-bangunan dan sebagainya. RTB Batu Pahat telah diwujudkan untuk mengurangkan kejadian banjir, terutamanya di sepanjang Jalan Sultanah yang merupakan kawasan komersial Batu Pahat.
Pelbagai kajian telah dilaksanakan oleh JPS sepanjang tempoh 1991- 2000 iaitu melalui kajian Pelan Induk Saliran Batu Pahat. Objektif kajian-kajian yang dijalankan adalah untuk menghasilkan dan memperbaiki pelan struktur saliran bandar bersepadu untuk bandar-bandar yang utama, mengadakan kajian kemungkinan ke atas projek utama yang telah dikenal pasti daripada pelan struktur dan menyediakan garis panduan untuk saliran bandar bersepadu di bandar-bandar utama.
Antara kajian yang terkandung dalam projek ini ialah Penyediaan Manual Saliran Mesra Alam ( Manual Pengurusan Air Ribut ). Manual saliran sedia ada telah dihasilkan oleh JPS pada tahun 1975. Manual saliran ini secara amnya kurang menyentuh aspek-aspek polisi, institusi dan perundangan serta mengandungi skop yang terhad terhadap input hujan, anggaran aliran puncak, kaedah reka bentuk, penggunaan konsep dan model hidrologi bandar, serta kawalan kuantiti dan kualiti air ribut. Aspek-aspek ini perlu diambil kira di dalam pembangunan sistem saliran untuk menampung pembangunan bandar dan industri yang begitu pesat. Selain daripada tertumpu kepada pembangunan dan pengurusan kawasan tadahan bandar, Manual Saliran Mesra Alam ini juga memenuhi objektif lain seperti guna tanah secara mapan, rekreasi dan keselamatan awam, nilai estetika dan imbuhan buatan air tanah. Manual yang diperkenalkan ini melibatkan garis panduan pembangunan tanah, projek perumahan, pertanian dan lain-lain pembangunan yang dapat membantu dalam menyelesaikan masalah banjir kilat yang dihadapi oleh negara. Garis panduan ini adalah dilancarkan pada tahun 2000. Meskipun Manual Saliran Mesra Alam mengandungi garis panduan yang komprehensif, perlaksanaannya juga memerlukan komitmen dan sokongan dari semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan dan pemaju hartanah. Dalam hal ini, pemaju boleh melaksanakan konsep pembangunan lestari. Dengan kuasa beli rakyat yang semakin bertambah, pembeli kini sanggup membayar harga yang lebih untuk mendapat hartanah yang mesra alam. Trend ini harus diusaha oleh pemaju hartanah umpamanya dengan menampilkan imej air seperti tasik dan sungai dalam konsep pembangunan hartanahnya. Jika diurus dengan bijak, imej air ini bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kesan banjir malah dapat meningkatkan nilai hartanah.
Kajian seterusnya yang dijalankan ialah Kajian Pengecilan Hidrograf Air Larian Hujan. Kajian ini dilaksanakan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia, Kampus Cawangan Perak. Kajian ini bertujuan mengkaji keberkesanan kaedah penyusupan dan penggunaan tangki storan untuk pengecilan hidrograf air larian permukaan dan pengurangan banjir. Kaedah ini adalah alternatif kepada sistem saliran sedia ada, yang mengalirkan air dengan banyak dan cepat ke sungai dan seterusnya boleh mengakibatkan banjir di kawasan hilir. Pendekatan alternatif ini adalah selaras dengan usaha JPS untuk mengatasikan masalah saliran bandar dengan strategi sumbangan puncak sifar. Tiga sistem yang berasingan telah dibina iaitu kolam penyusupan bermodul, kolam penyusupan kelikir dan tangki storan bermodul. Projek ini telah bermula pada Jun 1999 dan disiapkan pada tahun 2000.
Kajian ketiga pula dijalankan dengan melalui Pelan Induk Saliran Makro di projek Koridor Raya Multimedia ( MSC ). Projek MSC telah dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996. Projek MSC ini merupakan jentera utama pembangunan negara di abad ke- 21. Untuk memudahkan penyelarasan dan pelaksanaan projek, ia dibahagikan kepada tujuh kawasan yang mempunyai pelan konsep berasingan dan diselaraskan mengikut sempadan masing-masing. Salah satu komponen yang penting dalam pembangunan MSC ialah sistem saliran. Banjir dan hakisan boleh diatasi di setiap kawasan secara individu, tetapi ini mungkin akan mengakibatkan masalah beralih ke kawasan hilir. Untuk mengatasi masalah ini, Pelan Induk Saliran Makro MSC telah disiapkan pada Julai 1999. Selaras dengan kegiatan pembanguan yang pesat, kajian ini juga meliputi penyediaan Pelan Tindakan Segera yang akan dijadikan panduan bagi menilai dan meluluskan cadangan sistem saliran oleh pemaju MSC.
Kajian terakhir yang dijalankan dalam projek ini ialah Kajian Bersepadu Perbaikan Saliran Bandar. Dalam kajian ini, langkah konvensional telah diambil seperti membaik pulih saluran saliran dan memperbesarkan kolam regulasi yang gagal menghasilkan sistem saliran bandar akibat daripada proses urbanisasi yang pesat. Oleh itu, penyediaan pelan saliran bersepadu yang meliputi kawalan air larian lembangan melalui kaedah penyusupan dan penyimpan serta kawalan penggunaan tanah adalah penting. Lanjutan dari permintaan kerajaan Malaysia, kerajaan Jepun telah bersetuju membantu melaksanakan kajian ini menerusi Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun ( JICA ). Dengan semua kajian yang dijalankan di atas, projek pembangunan ini yang berkaitan dengan sistem perparitan dan saliran dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan sempurna.
3.0 Isu-isu yang timbul, akibat serta penyelesaian
Isu banjir kilat menjadi topik terhangat sejak akhir bulan Disember 2006 di negeri Johor. Beberapa negeri di selatan Malaysia terutamanya di negeri Johor telah dilanda banjir besar mulai 18 Disember 2006 akibat hujan lebat yang mencurah-curah. Hujan lebat tanpa berhenti berturut-turut hari ini disifatkan sebagai satu fenomena luar biasa yang berlaku sejak 100 tahun yang lalu. Johor merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir ini. Daerah-daerah yang terlibat ialah Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Muar, Pontian dan Segamat.
Kejadian banjir yang dikenali sebagai banjir kilat ini merupakan banjir yang berlaku atau air yang mengalir dengan cepat melimpah daripada tebing sungai dan tasik lalu menggenangi kawasan tanah yang bersebelahan sehingga mengakibatkan kerugian harta benda dan kemalangan jiwa yang besar. Banjir kilat lebih kerap berlaku di pantai barat. Ia terjadi ekoran daripada ketidakupayaan permukaan untuk menyerap air. Keadaan ini disebabkan oleh permukaan yang tidak telap ataupun keadaan air yang mengalir dari permukaan terdedah kepada permukaan tidak telap air seperti konkrit, simen dan sebagainya.
Walaupun banjir merupakan fenomena semula jadi, ia juga dipengaruhi oleh faktor lain terutamanya tindakan manusia yang mengubah struktur permukaan dan sub-permukaan tanah yang menyebabkan imbangan hujan air larian terganggu. Di kawasan bandar misalnya, manusia banyak mengubah permukaan tanah daripada kawasan telap air kepada kawasan-kawasan tidak telap air melalui pembinaan jalan raya, bangunan-bangunan tinggi, zon letak kereta dan sebagainya. Johor merupakan sebuah negeri yang begitu berkembang dengan maju. Banyak kawasan tanah atau hutan telah diterokai untuk melaksanakan pembangunan. Dalam tahun 70-an, didapati hampir kesemua hutan paya gambut di Batu Pahat telah diterokai dan dimajukan melalui Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Johor Barat ini. Terusan dan parit telah dibina dengan banyaknya untuk mengalirkan air dan merendahkan aras air bumi agar sesuai untuk tanaman. Akibatnya, tanah gambut yang sebelum ini sentiasa ditenggelami air terdedah kepada udara. Ini menyebabkan tanah gambut mengalami proses pereputan, pengoksidaan dan larut resap. Kesan jangka panjang proses ini ialah berlakunya pemendapan tanah. Kejadian ini adalah amat berkait rapat dengan etika para pemaju yang tidak mengambil kisah terhadap alam sekeliling. Semasa pembinaan, mereka tidak mengambil kira faktor pemendapan tanah dan kenaikan aras air laut dalam menyediakan strategi kawalan banjir. Apa yang mereka pentingkan hanyalah keuntungan dan kesempatan menyiapkan projek dalam masa yang diberikan.
Banjir kilat melanda di Johor lagi pada 12 Januari 2007 ketika orang ramai mula berpindah balik ke rumah mereka selepas banjir pertama yang lalu. Banjir kali ini lebih serius dari banjir pertama sehingga terdapat khabar angin darurat telah diisytiharkan di Johor, namun ia tidak benar. Seramai 109, 831 orang dari 24, 765 keluarga telah berpindah ke 344 pusat pemindahan banjir yang telah dibuka semula. Namun dua pusat pemindahan turut dinaiki air dan 1, 793 mangsa banjir terpaksa dipindah ke tempat lain. Beberapa sungai mencatat paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap iaitu 9.58 meter melebihi paras berjaga-jaga 8.53 meter dan Sungai Muar di Bukit Kepong 4.69 meter melepasi paras berjaga-jaga 2.43 meter. Banjir 2006/07 telah menyaksikan kenaikan paras air yang begitu cepat dengan kandungan lumpur atau enapan yang tinggi. Segamat misalnya, biasanya hujan sebulan purata adalah dekat 100 mm. Tetapi hujan yang mengakibatkan banjir ini pada satu malam sahaja pada paras 400 mm. Apabila tiga malam berturut-turut, jadi hampir 700 mm. Sepatutnya hujan sebanyak itu terkumpul bagi tempoh antara 3 hingga 4 bulan. Begitu juga daerah lain termasuk di Kluang dan Kota Tinggi.
Bencana banjir kilat yang berlaku di Johor bermula dari 18 Disember 2006 adalah disebabkan sistem perparitan yang sedia ada adalah kurang sistematik. Oleh itu, semasa banjir berlaku terdapat banyak pihak telah menyalahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Semua pihak telah menuduh dan menyalahkan JPS kerana mereka menganggap sistem perparitan yang kurang sempurna merupakan punca banjir kilat utama di Johor.
Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Ghani Othman berkata bahawa hal ini adalah kerana sistem perparitan yang tidak dapat berfungsi dengan baik dan tidak dapat menampung hujan lebat tersebut. Menurut Abdul Ghani, kerja membaiki sistem perparitan harus diamalkan segera untuk mengelakkan kejadian ini berulang lagi. Punca yang lain ialah limpahan air yang tidak dapat mengalir ke laut disebabkan air pintu yang lebih tinggi daripada paras muara sungai dan sistem perparitan yang belum diperbaiki dan sudah lama.
Di samping itu, pensyarah Geografi dan Hidrologi Pusat Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia(USM), Dr. Main Rindom telah berkata, beliau percaya bahawa 60 hingga 70 peratus banjir kilat berlaku di Johor adalah disebabkan penyediaan sistem perparitan yang tidak sempurna, seperti Singapura telah membuktikan sistem perparitan mereka adalah lebih sistematik kerana mereka turut menerima hujan yang lebat tetapi tidak mendapat kesan becana yang begitu teruk. Selain itu, beliau juga berkata punca utama banjir ini adalah kerana pengurusan sistem saliran yang tidak betul dan sistem sungai yang tidak sempurna dengan pembangunan yang tidak terancang.
Selain itu, JPS tidak cekap dalam pengurusan masalah sistem perparitan tersebut. Kebanyakan sistem perparitan seperti longkang dibangunkan pada masa itu adalah dengan menggunakan bahan binaan kontrit yang boleh menyebabkan air melimpah keluar. Hal ini adalah sebab bahan binaan kontrit itu hanya bertindak sebagai penyalur air ke kawasan tadahan dan ia juga merupakan penghalang penyerapan air ke tanah.
Manakala, Ketua Pengarah JPS, Datuk Paduka Ir. Keizrul Abdullah telah memberi keterangan tentang isu ini melalui surat khabar bahawa isu banjir kilat ini tidak harus dipersalahkan kepada JPS sebaliknya kami sepatutnya melihat secara menyeluruh tentang sebab-sebab dan punca-punca mengapa hal ini berlaku.
Menurut beliau, banjir kilat berlaku adalah sebab parit saliran tidak dapat menampung air dengan jumlah air yang banyak. Hal ini adalah kerana sampah sarap dibuang oleh orang ramai menyebabkan saiz dan kapasiti parit ataupun sungai semakin kecil dan cetek. Selain itu, punca kedua adalah sistem sungai atau parit tidak berkeupayaan menampung kuantiti air yang terlalu banyak mengalir ke dalamnya kerana telah melebihi keupayaan maksimumnya.
Dalam isu ini, kami mendapat bahawa pihak JPS perlu bertanggungjawab dalam isu banjir kilat ini. Di samping itu, pihak berkuasa perlu mengamalkan nilai dan etika akauntabiliti dalam membaiki sistem perparitan ini supaya dapat menghasilkan kualiti sistem saliran yang baik dan lebih sistematik. Mereka juga harus mengambil berat tentang projek ini dan sentiasa menjaga kebersihan sungai-sungai supaya bebas dari sampah sarap. Jika masyarakat bekerjasama dengan JPS iaitu menjaga kebersihan alam sekeliling, kita akan dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini ini berlaku lagi.
Terdapat beberapa akibat yang terhasil daripada isu-isu yang telah berlaku. Antaranya ialah banjir kilat telah memusnahkan banyak harta benda dan rumah tangga mangsa banjir di Johor. Akibat daripada kemusnahan harta benda, mereka telah mengalami kerugian yang amat besar. Oleh itu, mangsa-mangsa banjir terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan untuk sementara. Selain itu, kes kecurian dilaporkan berlaku selepas air banjir telah surut. Sesiapa yang terlibat dalam kecurian ini memang mengamalkan etika yang buruk. Mereka mengambil kesempatan terhadap bencana ini dengan mencuri barang kemewahan orang lain sedangkan tuan rumah tersebut telah mengalami kerugian yang tinggi dalam kejadian banjir ini. Tidak boleh dinafikan bahawa kekecohan banjir kilat ini telah mengorbankan beberapa orang nyawa. Dengan itu, pemerintah telah menyediakan dana untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan juga dana dengan RIBA untuk peniaga-peniaga yang menjadi mangsa banjir, itu semua tidak mencukupi kerana tanggungjawab pemerintah adalah memberi bantuan semaksimum yang mungkin dan menjaga perasaan mangsa banjir agar mereka merasakan pemerintah dan rakyat keseluruhan simpati ke atas mereka.
Banjir menyebabkan kerosakkan sektor pertanian. Bagi pekebun, segala tanah, ladang dan sawah telah musnah. Bagi pertanian sayur-sayuran, nenas dan sebagainya maka hasil bulanan atau pendapatan musim itu akan musnah. Dengan kehilangan pendapatan maka akan menyusahkan kehidupan mereka. Bekalan makanan turut terjejas akibat kemusnahan tanaman yang dimusnahkan oleh air banjir. Pada masa itu, harga bekalan makanan turut meningkat disebabkan kekurangan bekalan makanan. Peniaga-peniaga pula mengalami kerugian kerana barang-barang peniaga mereka telah rosak akibat banjir air dan tidak dapat berniaga sekiranya banjir tidak memulihkan. Bagi mangsa yang kehilangan sumber pendapatan bulanan akan memberatkan lagi beban dalam kehidupan harian mereka.
Isu banjir kilat di Johor telah menyebabkan kerosakan fizikal. Contohnya, struktur-struktur seperti masjid dan jalan raya telah rosak disebabkan arus deras dan bangunan rosak akibat daripada air banjir. Bagi kerajaan yang mengumpul wang untuk pembangunan, maka terpaksa berbelanja berbilion ringgit bagi membaiki semula prasarana yang musnah dan menyediakan bantuan kepada semua orang. Daripada tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menunjukkan mereka mengamalkan nilai bertanggungjawab terhadap bencana alam yang dihadapi oleh mangsa. Kerajaan berusaha memulihkan keadaan yang biasa sebelum banjir dilanda dan mereka sanggup menyumbangkan wang ringgit untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Johor. Kalau bukan kerana berlaku bencana itu, maka peruntukan wang itu boleh digunakan untuk sebahagian dari keperluan pembangunan yang sedang berjalan sekarang.
Banjir yang melanda di Johor telah mengakibatkan banyak mangsa tidak mendapat bekalan air bersih dan elektrik untuk menjalankan kehidupan harian mereka. . Ini boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada individu dan masyarakat setempat dari segi kesihatan dan keselamatan diri dan awam. Hal ini telah memberi kesan tekanan mental di kalangan mangsa-mangsa yang mengalami kerosakan kediaman, harta benda, ternakan, tanaman mahupun kehilangan orang tersayang. Penyakit-penyakit berjangkit bawaan air seperti demam kepialu dan taun, adalah mudah merebak jika langkah-langkah yang sewajarnya tidak diambil. Hujan lebat akan menyebabkan limpahan air dan membawa bersama sampah sarap, air kumbahan dan bahan kimia daripada kilang dan industri. Ini kerana air yang tercemar akan memberikan kesan negatif kepada manusia. Ini boleh menyebabkan berlakunya pencemaran oleh pelbagai bakteria, virus dan organisma-organisma yang boleh menyebabkan terjadinya penyakit berjangkit. Orang tua, kanak-kanak dan individu yang menghidap sakit kronik seperti bronchitis (radang pada bronkus), suasana yang sejuk menyebabkan seseorang lebih mudah terkena jangkitan. Kesan tinggalan kulat selepas hujan juga boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit-penyakit berkaitan paru-paru dan pernafasan dan boleh menyebabkan lagi keadaan pesakit tersebut menjadi teruk. Mengikut Kementerian Kesihatan, kes-kes penyakit yang disebarkan air turut meningkat.
Amat bersyukurlah kepada tuhan kerana dalam kejadian banjir 2006/07 ini, ramai pihak dari seluruh negara termasuk pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO), badan-badan suka rela, syarikat-syarikat individu dan sebagainya telah menghulurkan bantuan kepada semua mangsa banjir. Mereka melibatkan diri dalam kerja sukarela dan mengamalkan nilai murah hati dengan menyumbang wang kepada mangsa banjir sebagai kebajikan malah mereka turut menderma pakaian dan bekalan makanan kepada mangsa sebagai bantuan. Ini dapat membuktikan bahawa rakyat Malaysia mengamalkan nilai simpati dan bertimbang rasa terhadap mangsa yang mengalami kesusahan. Bantuan yang diberikan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa dan dapat memulihkan kerosakan yang dialami.
Kerajaan Malaysia juga mengumumkan beberapa bantuan khas. Sebanyak RM 6 juta telah diperuntukan untuk para petani. Kerajaan Malaysia juga mendermakan uniform sekolah kepada pelajar-pelajar yang terlibat dalam kejadian banjir. Mykad, pasport dan kad pengenalan diri yang telah hilang akan diganti secara percuma. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memohon peruntukan tambahan kira-kira RM 1.2 bilion bagi menjalankan pelbagai penambahbaikan bertujuan menangani masalah banjir di seluruh Johor.
Selain daripada menyumbang dana dan kebendaan kepada mangsa, rakyat Malaysia yang mempunyai ciri-ciri masyarakat kolektivisme telah mengamalkan sikap tolong-menolong dan bekerjasama untuk membersihkan lumpur di semua kemudahan seperti sekolah, masjid , surau dan balai raya. Di samping itu, ada yang bertanggungjawab memasak nasi dan lauk dengan jumlah kuantiti yang banyak supaya dapat menampung jumlah mangsa banjir yang banyak ini dan ada pula bertanggungjawab mengagihkan makanan dan barang keperluan kepada semua mangsa banjir.
Isu yang turut dibincangkan ialah banjir adalah disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak sempurna. Oleh itu, banyak pihak turut menyalahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak melaksanakan tanggungjawab untuk menyempurnakan tugas mereka dan menyebabkan banjir kilat. Maka sebenarnya kejadian ini bukan sahaja disebabkan kelalaian JPS maka rakyat jelata juga perlu bertanggungjawab ke atas perkara ini. Rakyat Johor tidak mengamalkan nilai cinta kepada alam sekitar. Mereka mengotorkan parit-parit dengan membuang sampah sarap ke dalamnya. Tingkah laku yang diamalkan oleh mereka telah menyebabkan parit-parit tersumbat dan berlaku limpahan air keluar. Apabila berlaku hujan lebat, air di dalam parit itu tidak menyalur dengan lancar dan sempurna kerana dipenuhi dengan sampah sarap. Pada masa ini kemampuan sistem perparitan yang sedia ada tidak mampu menampung aliran air menyebabkan air tersebut melimpah ke kawasan kediaman dan seterusnya menyebabkan banjir. Nilai cinta kepada alam sekitar perlu ditanam dalam hati setiap rakyat supaya mereka tidak membuang sampah ke merata-rata tempat dengan sesuka hati.
Bagi mengawal kejadian banjir kilat terus berlaku, penguatkuasaan polisi dan pendekatan memainkan peranan yang penting. Pihak kerajaan telah mewujudkan beberapa polisi yang bertindak sebagai panduan kepada pihak pemaju dan pihak tertentu sebelum menjalankan sebarang bentuk pembangunan khususnya dalam menjaga dan memelihara alam sekitar. Kerajaan juga memperkenalkan pendekatan-pendekatan pengurusan sungai sebagai satu langkah kawalan yang penting. Sebagai contoh Manual Saliran Mesra Alam(MASMA) dan Integrated River Basin Management(IRBM). Akan tetapi perlaksanaan ini juga memerlukan kerjasama, komitmen dan sokangan dari semua pihak terutamanya pihak berkuasa tempatan. Dalam pendekatan MASMA pemaju hartanah juga perlu memberi kerjasama dan sokongan seperti menjalankan pembinaan pembangunan lestari. Kesemua ini dapat mengawal berlaku kejadian banjir.
Selain itu, pihak kerajaan juga memberi kesedaran kepada pihak penswastaan tentang masalah pembuangan sisa-sisa adalah dititikberatkan. Pihak penswastaan harus mengambil sikap yang serius dalam pembuangan sisa-sisa iaitu pembuangan sisa-sisa diuruskan dengan lebih cekap dan berkesan. Kerajaan telah menaikkan taraf sebanyak 23 tapak pelupusan perbandaran bagi memastikan pelupusan sisa-sisa dijalankan dengan lebih teratur dan cekap. Ini juga membolehkan pihak swasta membuang sisa-sisa dengan cara yang betul dan bukan kerana untuk kepentingan sendiri dan membuang sisa-sisa tersebut ke dalam sungai. Selain itu, kerajaan juga mengadakan kempen yang berkaitan seperti menggalakkan pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula bahan sisa buangan.
Di samping itu, satu piawaian telah diluluskan oleh Kabinet pada tahun 2001 iaitu manual perparitan bandar “Prosedur Perancangan & Reka Bentuk No.1: Piawaian Reka Bentuk Perparitan Bandar untuk Semenanjung Malaysia sebagai usaha memperkenalkan sistem perparitan dan saliran yang lebih sistematik dan holistik. Tambahan pula, ia juga dijadikan sebagai garis panduan dan keperluan untuk semua pengawal, perancang, jurutera dan pihak-pihak yang tertentu tentang sistem rekaan perparitan untuk semua pembangunan di kawasan bandar supaya masalah banjir dapat dikawal. Akan tetapi, banjir tetap berlaku di Johor pada Disember tahun 2006. Setelah kejadian ini berlaku, kerajaan Johor telah mengarahkan tindakan mendalamkan parit dan reka bentuk sistem perparitan baru dengan serta-merta. Selain daripada itu, kerajaan Johor juga mengarahkan pihak berkuasa membina lebih banyak kolam takungan hujan di tempat yang strategik
Projek-projek yang telah dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah telah mengakibatkan beberapa hasilan. Contohnya projek peningkatan fungsi ekosistem sungai iaitu mendalamkan parit dan reka bentuk sistem perparitan baru. Dengan pembinaan sistem perparitan yang berkesan ini dapat mengelakkan banjir akan berlaku. Ini adalah kerana sistem perparitan yang berkesan dapat menampung jumlah air yang tinggi, pada masa yang sama ia dapat mengelakkan limpahan air keluar.
4.0 Implikasi atau Pengajaran Terhadap Pengurusan JPS
Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) merupakan sebuah agensi kerajaan yang melaksanakan projek pembangunan untuk menangani masalah banjir kilat. Dengan itu, JPS telah melaksanakan pelbagai projek dan langkah untuk menyelesaikan masalah banjir kilat tetapi penyelesaian ini tidak dijalankan dengan sempurna dan kurang sistematik.
Punca banjir kilat adalah disebabkan sistem perparitan yang dibina terlalu kecil dan cetek. Jumlah air yang banyak menyebabkan air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir kilat yang berlaku. Selain itu, pengurusan JPS yang kurang sempurna menjadikan keadaan sungai atau parit saliran yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah kuantiti air yang banyak, dan menyebabkan bencana ini.
Implikasi banjir kilat ini telah merosakkan harta benda awam seperti jalan raya, kereta api, elektrik dan mengakibatkan pelbagai jenis penyakit. Semua perbelanjaan ini akan ditanggung oleh kerajaan dengan memperbaiki kerosakkan dan membiayai kelengkapan perubatan. Selain itu, kerajaan juga dikehendaki menyediakan pelbagai keperluan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan serta menyediakakn petempatan sementara kepada mangsa banjir. Kesemuaan ini memerlukan kos yang sangat tinggi. Di samping itu, banjir kilat tersebut juga menjejaskan industri pelancongan negara. Ini akan merugikan negara kita yang telah membuat banyak promosi dan berusaha menarik pelancong dari luar negara.
Melalui implikasi ini, kami telah mendapat pelbagai pengajaran terhadap pengurusan JPS. JPS juga perlu mempunyai nilai dan etika sebagai agensi perkhidmatan awam supaya meninggikan mutu perkhidmatan awam, memelihara kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan awam dan memupuk tanggungjawab bersama antara agensi perkhidmatan awam dengan masyarakat. Hal ini adalah kerana permintaan masyarakat terhadap perkhidmatan awam telah meningkat. Oleh itu, pihak kerajaan berharap meningkat imej dan mutu mereka supaya masyarakat yakin kapada kemampuan perkhidmatan awam.
Di samping itu, kami mendapati semasa banjir kilat berlaku, masyarakat kita bersatu padu dan bekerjasama tanpa mengira agama dan bangsa untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir. Pengajaran kami dapati adalah bersatu padu masyarakat adalah sangat penting dalam masyarakat majmuk ini.
Persatuan-persatuan kerajaan dan swasta juga memberi banyak bantuan kepada mangsa apabila mereka memerlukan bantuan. Selain itu, masyarakat juga memberi bantuan atau derma kepada mangsa dengan ikhlas dari segi makanan dan minuman, pakaian, kewangan dan menyelamatkan mangsa dari kawasan banjir ke petempatan sementara. Pengajaran yang kami mendapati adalah tolong-menolong dan bekerjasama adalah sangat penting.
Selain itu, masyarakat perlu mengamalkan nilai tanggungjawab bersama untuk menjaga alam sekitar kita iaitu tidak membuang sisa pepejal di dalam sungai, ini akan menyebabkan sistem perparitan tersumbat dan tidak berfungsi dengan baik serta sungai akan menjadi semakin cetek. Jaga alam sekitar, tanggungjawab kita.
Di samping itu, pengajaran yang kami dapati adalah kami perlu sediakan payung sebelum hujan iaitu JPS perlu menaikkan kualiti sistem perparitan supayanya lebih sistematik dan boleh menakung air yang berlebihan untuk mengelakkan bencana ini tidak berlaku lagi.
Terdapat beberapa cadangan penyelesaian alternatif. Antaranya ialah projek peningkatan fungsi ekosistem sungai iaitu mendalamkan parit dan reka bentuk sistem perparitan baru. Sistem perparitan yang sedia ada ini tidak dapat berfungsi dengan baik dan tidak cukup sempurna iaitu sistem perparitan ini tidak dapat atau mampu menampung kadar hujan atau air yang tinggi. Hal ini kerana pembangunan atau perumahan semakin hari semakin bertambah. Selain itu, sistem perparitan lama dan pintu air yang tinggi daripada paras muara sungai dan telah menyebabkan limpahan air tidak dapat mengalir ke laut. Di samping itu, kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur, rumah pam, membuat lencongan sungai, mengadakan ban sungai di kawasan yang lebih rendah serta membaiki empangan yang telah pecah. Sebagai contoh sistem perparitan dibina dengan tanah untuk menggantikan bahan konkrit yang kurang kukuh berbanding dengan tanah. Tambahan pula, pihak berkuasa juga boleh membina sistem saliran yang lebih sempurna, kolam takungan dan benteng yang diperlukan untuk mengatasi masalah banjir.
Cadangan penyelesaian yang kedua ialah memperbaiki sistem pemendapan air dan halangan pergerakan air dalam longkang dan saliran. Air hujan yang lebat akan membawa batu-batu kerikil, pasir-pasir dan tanah dalam pergerakan air dari hulu melalui sungai. Longkang-longkang yang dibina tanpa memasang perangkap pasir ini akan menyebabkan pelbagai bahan mineral seperti batu-batu, kerikil, pasir dan tanah lumpuh menutup longkang tersebut dan menjadi keras apabila kering. Oleh itu, pihak berkuasa harus memastikan kesemua longkang harus mempunyai sistem perangkap bahan berat seperti kerikil, pasir dan tanah sama ada longkang yang dibina di kawasan perumahan atau tepi jalan raya. Ini dapat mengurangkan risiko banjir.
Cadangan penyelesaian yang ketiga adalah projek pendalaman sungai. Kecetekan sungai merupakan salah satu punca yang menyebabkan berlakunya banjir kilat. Oleh itu, projek pendalaman sungai perlu dijalankan iaitu melebarkan dan mendalamkan sungai yang sedia ada. Ini boleh dilakukan dengan mengorek semua lumpur dan kekotoran yang terdapat dalam sungai. Sungai harus dikorek lebih dalam dan lebar supaya dapat menampung lebih banyak kadar air hujan yang diterima. Ini dapat mengurangkan dan melambatkan air yang mengalir di dalam sungai dan menghalang air sungai melimpah keluar ke tebingnya dan seterusnya mengakibatkan banjir.
Cadangan penyelesaian yang keempat adalah mengawal aktiviti manusia. Cadangan ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama memberi kesedaran kepada masyarakat dan kedua ialah memberi kesedaran kepada pihak pemaju. Dalam memberi kesedaran kepada masyarakat pihak kerajaan harus mengadakan kempen-kempan yang berkaitan dengan sungai seperti “Cintailah Sungai” dan sebagainya untuk memberi kesedaran tentang betapa pentingnya sungai. Tujuan kempen-kempen ini dijalankan untuk menghalang kita membuat sesuatu yang tidak patut iaitu membuang sampah ke dalam sungai. Hal ini kerana perbuatan ini akan menyebabkan sungai menjadi cetek dan tidak mampu menampung air yang banyak dan akhirnya mengakibatkan banjir. Yang kedua ialah memberi kesedaran kepada pihak pemaju supaya membuat perubahan pada dataran banjir. Hal ini seperti mengelakkan pembinaan rumah di kawasan rendah dan kawasan berbukit kerana kawasan yang rendah mudah terdedah kepada banjir.
Cadangan penyelesaian yang terakhir ialah memelihara hutan. Pembalakkan yang tidak terbatas demi pembangunan telah terlampau banyak telah menyebabkan berlakunya banjir. Oleh itu, pemeliharaan hutan adalah sangat penting pada masa kini. Hutan boleh dijadikan kawasan tadahan yang mampu menyerap air hujan daripada mengalir terus ke bumi. Dengan itu, hutan bertindak atau berfungsi sebagai bunga karang(sponge) dengan menyerap air hujan dan mengalir dengan perlahan-lahan ke anak-anak sungai. Oleh itu, pemeliharaan hutan merupakan salah satu cara untuk mencegah masalah banjir.
Beberapa nilai dan etika perlu diamalkan apabila melaksanakan semua perkara di atas. Semua pihak harus mengamalkan nilai-nilai dan etika yang sepatutnya dalam menjalankan tugas-tugas mereka. Pihak kerajaan yang memerintah harus bertanggungjawab menggubal dasar dan peraturan yang diperlukan supaya dapat mencapai matlamat sosio-ekonomi dan wawasan negara kita. Pihak pemaju dan pihak berkuasa pula harus mengamalkan nilai amanah iaitu memelihara dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka mengikut agama dan undang-undang serta tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri. Selain itu, masyarakat juga perlu memupuk nilai tanggungjawab bersama iaitu setiap rakyat harus menganggap dirinya mempunyai tanggungjawab terhadap negara ini dan mempunyai tanggungjawab menjaga alam sekitar terutama dari segi kebersihan. Nilai sokongan seperti berkerjasama juga perlu diamalkan oleh semua pihak yang berkaitan. Dengan nilai-nilai dan etika-etika yang diiamalkan ini cadangan yang dikemukakan di atas akan dapat dijalankan dengan lebih lancar dan sempurna.
Rujukan
Anak muar. Retried Februari 2, 2008, from
http://berita-anakmuar.blogspot.com/2007/10/mb-johor-arah-dalamkan-parit.html
Baiki sistem saliran. Retried Februari 2, 2008, from
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=1218&pub=utusan_ malaysia&see=rencana&pg=re01.htm&are=hive
Banjir di Malaysia 2006-2007. Retried Februari 3, 2008, from
http://ms.wikipedia.org/wiki/Banjir-di-malaysia_2006
Banjir kilat kedua melanda DUN sg. Abong (2007, Jun 12). Retried Februari 4, 2008,
from http://www.harissalleh.com/web/indexz.php?option=comcontent&dopdf=1&id=9
Fenomena rebut, kemarau. Retried Februari 5,2008, from
http://web.utm.my/i-pasa/index.php?option=contentetask=view&id=441&itemid =113
JPS Johor laksana enam projek tebatan banjir. Retried Februari 5, 2008, from http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=1220&pub=utusanmalaysia&sec=laporan%5Fkhas&pg=lk07.htm&arc=hive
LZS bantu mangsa banjir Maran. Retried Februari 3, 2008, from
Post a Comment